Wednesday 7 March 2012

PKNS Temui Wakil Penduduk Jalan Plumbum Seksyen 7


SHAH ALAM, 16 FEBRUARI 2012 – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diketuai Pengurus Besarnya, Othman Omar hari ini melakukan lawatan susulan ke tapak kejadian tanah mendap yang berlaku di kawasan perumahan Jalan Plumbum Seksyen 7, dekat sini pagi tadi.

Othman bersama pegawai-pegawai daripada jabatan yang terlibat, melakukan tinjauan rapi selain mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan penduduk.

Dalam pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Jalan Plumbum 101-103, Tanzil Md Noor dan Setiausahanya, Zain Wahinuddin Idris, Othman berkata, PKNS akan memastikan langkah-langkah perlu, yang mengambil kira aspek keselamatan penduduk yang terlibat akan segera diambil.

Katanya, PKNS telah melantik perunding struktur untuk mengkaji keadaan tanah sementara MBSA yang akan bertindak sebagai penyelaras dalam merangka tindakan selepas ini telah pun meminta IKRAM membuat kajian dan analisis berhubung kejadian berkenaan.

“Hasil laporan kajian IKRAM dan perunding struktur PKNS nanti akan diselaraskan dalam satu mesyuarat penyelarasan yang akan dijalankan pada Isnin depan,” katanya.

Othman Omar meninjau kawasan perkarangan salah sebuah rumah yang terjejas besama dengan persatuan penduduk

Di dalam pertemuan itu juga, Othman turut memberikan komitmen sepenuhnya untuk memastikan kerja-kerja pembaikan di unit rumah yang terlibat akan dijalankan oleh pihak pemaju iaitu PCM Bina.

Pertemuan yang berlangsung harmoni ini sedikit sebanyak meredakan kebimbangan penduduk di kawasan berkenaan. Jawatankuasa penduduk juga menghargai tindakan pantas yang telah diambil oleh agensi-agensi terlibat seperti MBSA, PKNS dan IKRAM dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Sementara itu, penghuni sebuah rumah yang terjejas akibat kejadian ini telah dipindahkan ke Hotel De Palma Shah Alam sehingga kerja-kerja siasatan dan pembaikan selesai dijalankan.

No comments:

Post a Comment