Wednesday 7 March 2012

Pengurusan PKNS Turun Padang Perjelaskan Kekeliruan Projek Banjaria Court


SHAH ALAM, 31 JANUARI 2012 – Pihak pengurusan  Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) diketuai oleh Pengurus Besar Othman Omar baru-baru ini telah turun padang untuk meninjau sendiri keadaan projek perumahan Banjaria Court, Batu Caves.

Projek berkenaan yang kini dalam proses pemberian kunci secara berperingkat lapan bulan lebih awal dari tarikh perjanjian jual beli, sebelum ini menerima aduan daripada pembeli yang tidak berpuas hati dengan beberapa aspek rumah berkenaan.

Selari dengan lawatan berkenaan, PKNS telah mengaturkan satu pertemuan secara tertutup bersama enam individu yang mewakili pembeli Banjaria Court  Sabtu lalu. Menurut Othman pertemuan itu diatur pihaknya bagi mendengar serta mencari penyelesaian kepada permasalahan diutarakan para pembeli.

Pengurus Besar PKNS En Othman Omar meninjau aduan pembeli Banjaria Court

“Walaupun masalah yang diadu pembeli terbabit hanya melibatkan beberapa unit tertentu, namun pengurusan PKNS tidak mahu memandang remeh sebarang aduan pembeli,” tegas Othman.

Dalam pertemuan itu, Othman telah memberi penjelasan kepada kumpulan pembeli terbabit lanjutan dakwaan mereka bahawa PKNS sengaja melengah-lengahkan proses penyerahan kunci. Isu melewatkan pemberian kunci tidak timbul langsung kerana PKNS hanya menunggu pengeluaran Sijil Layak Menduduki (CF) sebelum melaksanakan pemberian kunci kepada pembeli.

“Kami telah menerima CF bagi Banjaria Court pada 4 Januari lalu yang mana kerja-kerja pembersihan terus dipergiatkan di unit-unit apartmen dan kawasan sekitarnya.  Kunci mula diberikan kepada pembeli mulai 23 Januari 2012.”

Merujuk kepada insiden seorang pembeli  terkejut dengan keadaan rumahnya yang tidak sempurna seperti disiarkan dalam berita di salah sebuah stesen televisyen tempatan, beliau berkata kes berkenaan adalah kes terpencil.

“Apa yang sebenarnya berlaku ialah pihak kontraktor terpaksa menanggalkan jubin dinding dan sinki untuk membaikpulih saluran paip yang didapati bocor. Walaupun pembeli diberi jaminan selama 24 bulan untuk sebarang kerosakan, kontraktor berkenaan mahu bertindak proaktif dengan cuba memperbaikinya lebih awal,” tambahnya lagi.

Othman berkata pembeli berkenaan juga sudah dimaklumkan mengenai situasi sebenar kejadian itu.

Pertemuan yang berlangsung hampir 2 jam  itu akhirnya memberi kelegaan di pihak pembeli yang menyifatkan  pertemuan itu satu dialog yang konstruktif dan tepat pada masanya.

Pembeli rumah Banjaria Court menerima kunci rumah mereka dari KontrollerWilayah Tengah, Hajjah Roziah

“Kita percaya sudahpun ada komunikasi yang baik antara pembeli dan PKNS. Oleh yang demikian kita harapkan segala permasalahan yang timbul dapat diselesaikan bersama dengan baik,” kata wakil pembeli Banjaria Court Auzan Sazali.

PKNS mengalu-alukan sebarang maklumbalas melalui laman Facebooknya “PKNS Response Team” dan e-mail ADUAN PKNS (aduan@pkns.gov.my)

No comments:

Post a Comment