Friday 30 March 2012

PKNS bantu adik Mawar - Berita Harian, 29 March 2012

SUBANG: Penderitaan dialami Mawar Nur Farisya Farid Alsuwad, 2, yang menghidap tiga
penyakit kronik berlainan iaitu lumpuh otak, jantung berlubang dan injap jantung sempit, menyebabkan bapanya sanggup berhenti kerja dan menjaganya sepenuh masa di rumah.
Bagi Farid Alsuwad Mohamed Maki, 34, pengorbanannya itu bagi membolehkan anak bongsu mendapat perhatian sewajarnya, manakala isterinya, Sahida Ramli meneruskan kerja di sektor kerajaan.
 Beliau berkata, mereka memiliki pengasuh menjaga anaknya itu sebelum ini, tetapi tidak kekal lama kerana keadaan Mawar Nur Farisya yang selalu pengsan membimbangkan pengasuh berkenaan.
"Dia dilahirkan normal tetapi selepas dua minggu kelahiran, kami menerima berita mengejutkan apabila doktor mengesahkan terdapat jangkitan pada otaknya.
"Kami mengesyaki sesuatu tidak kena apabila dia menangis tanpa henti untuk jangka masa lama hingga ada kalanya, dia sukar bernafas.
"Hasil pemeriksaan mengesahkan Mawar Nur Farisya menghidapi dua lagi penyakit kronik berkaitan jantung dan ketika usianya lapan bulan, kami dimaklumkan jantungnya berlubang sebesar duit lima sen dan saluran injap jantungnya sempit, menyebabkan dia sukar bernafas," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Penderitaan keluarga itu mendapat perhatian Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan Menteri Besar Selangor (Diperbadankan) yang tampil member sumbangan RM10,000 setiap satu, semalam, bagi membiayai kos pembedahan kanak-kanak itu berjumlah RM40,000.
Sumbangan disampaikan Ketua Pegawai Eksekutif PNSB, Datuk Ahmad Omar; Pengurus Besar PKNS, Othman Omar dan Ketua Pentadbir MBI, Rohany Talib serta Yang Dipertua Pertubuhan Amal Wanita Selangor (PEKAWANIS), Puan Sri Salbiah Tunut.
Farid berkata, wang diterimanya dan hasil sumbangan derma orang ramai yang memberangsangkan, jumlah wang terkumpul sudah mencukupi untuk Mawar Nur Farisya menjalani pembedahan 2 April ini di Pusat Perubatan Gleneagles Intan, Ampang.
"Saya bersyukur atas keprihatinan pihak terbabit memberi sumbangan untuk membantu meringankan kos pembedahan Mawar Nur Farisya dan berharap dia akan pulih selepas ini," katanya.

No comments:

Post a Comment