Showing posts with label seksyen 7. Show all posts
Showing posts with label seksyen 7. Show all posts

Thursday, 20 September 2012

Anjung PKNS Bantu Pelajar

Pusat Komuniti hasil kerjasama erat PKNS dan penduduk melalui JMB”
SHAH ALAM, 4 September 2012 – Jika anda ke kawasan flat kos rendah Seksyen 7 Shah Alam, jangan terkejut apabila melihat sekumpulan kanak-kanak dan remaja sekolah berlegar-legar di kaki lima blok 36 perumahan itu.
Mungkin tanggapan pertama yang terlintas, mereka sedang  menuju ke kafe siber, atau juga melepak. Walaupun itu sterotype atau imej yang sering dikaitkan dengan kehidupan di flat kos rendah-jangan tersalah sangka.
Mereka sebenarnya sedang menuju ke Anjung PKNS, pusat komuniti yang disediakan pemaju perumahan itu sebagai sebahagian dari aktiviti CSRnya bagi membolehkan setiap pelajar sekolah di flat perumahan itu mendapat peluang menyertai kelas ulangkaji selepas waktu sekolah.
Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata, Anjung PKNS yang juga merupakan projek perintis diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan komuniti serta modal insan melalui program pembangunan keluarga, latihan pembelajaran dan bimbingan akademik secara berterusan kepada anak-anak penghuni pangsapuri tersebut.
"Anjung PKNS mula beroperasi pada 1 November 2011 dengan mensasarkan pelajar-pelajar sekolah menengah dan rendah yang diselia oleh tutor sukarelawan. Kami memperuntukkan dana sebanyak RM65,000 bagi kerja-kerja membina pusat komuniti yang berkeluasan 1200 kaki persegi, selain RM40,000 semasa pusat ini mula beroperasi,” kata Ishak.
Sementara itu, penduduk, Aminuddin Samsi, 43, berkata, beliau menyokong penuh usaha murni PKNS kerana menubuhkan pusat komuniti  yang banyak memberi faedah kepada penduduk pangsapuri.
Beliau sendiri menghantar anak perempuannya yang bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun ini bagi mengikuti program ulangkaji pelajaran kerana kedudukan pusat komuniti yang berdekatan dengan rumah.
"Saya berterima kasih kepada pihak PKNS kerana begitu mengambil berat tentang pendidikan anak-anak kami di sini. Selama beberapa bulan anak saya belajar di sini, saya melihat terdapat peningkatan dalam pelajarannya.
“Lagipun kami tidak perlu membayar apa-apa yuran untuk menghantar anak ke sini selain keselamatan anak-anak juga terjamin kerana kedudukan pusat komuniti yang dekat dengan rumah," katanya.
Aminuddin berkata, dengan penubuhan Anjung PKNS terbabit, gejala lepak yang berleluasa di kalangan pelajar sekolah juga berkurangan memandangkan mereka sudah mempunyai tempat lepak dan santai kerana pusat komuniti itu turut menyediakan komputer sumbangan PKNS untuk kegunaan pelajar.
"PKNS telah banyak membantu menyediakan kemudahan kepada penduduk pangsapuri seperti kemudahan pendidikan untuk anak-anak selain menyediakan tempat untuk komuniti di sini berkumpul mengadakan sesuatu aktiviti sehingga dapat mengeratkan ikatan kejiranan.”
Menurut Ishak, kejayaan pusat komuniti ini juga disebabkan oleh kerjasama PKNS melalui Badan Pengurusan Bersama atau JMB flat berkenaan.
“Pusat komuniti berkenaan yang terletak di bawah seliaan Joint Management Body (JMB) flat berkenaan dapat membangunkan aspek sosial, ekonomi, kewangan dan keagamaan bagi penduduk setempat secara keseluruhannya.”
"Penubuhan JMB atau Badan Pengurusan Bersama ini adalah perlu bagi setiap pangsapuri selaras dengan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Pengurusan dan Penyelenggaraan Bangunan 2007) atau lebih dikenali sebagai Akta 663.”
"JMB ini ditubuhkan supaya dapat menyediakan peluang kepada pembeli  menyenggara, mengurus bangunan dan harta bersama. Peluang ini diharapkan dapat digunakan oleh pemilik lain bagi mendapat pengalaman dalam soal pengurusan selain menjalin hubungan lebih rapat dengan pemaju," katanya.
Menurut Ishak,  sebanyak 312 pejabat pengurusan JMB di 42,000 unit pangsapuri PKNS seluruh Selangor telah diwujudkan selepas Akta 663 diwartakan oleh kerajaan.
Daripada jumlah berkenaan, kira-kira 103 JMB telah diserahkan kepada penduduk pangsapuri supaya dapat diuruskan sendiri oleh pemilik berdaftar, manakala selebihnya di bawah tanggungan PKNS memandangkan ia masih dalam proses penyerahan selain permintaan penduduk yang mahu pemaju menguruskannya. 

Tuesday, 10 July 2012

PKNS kecewa tindakan penduduk Jalan Plumbum


SHAH ALAM 9 Julai - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kecewa dengan tindakan sebahagian penduduk di Jalan Plumbum, Seksyen 7 di sini yang mengadakan piket berhubung masalah tanah mendap di kawasan perumahan itu.

Pengurus Perkhidmatan Pelanggan PKNS, Mohd. Wazir Abdul Gani berkata, ini kerana PKNS telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasi masalah tersebut sejak perkara itu dibangkitkan pada Februari lalu yang melibatkan Jalan Plumbum 7/101 A, 7/101 B dan 7/101 C.

Mohd. Wazir, dalam kenyataan akhbarnya memaklumkan, antara tindakan yang telah dilakukan oleh PKNS ialah dengan melantik kontraktor bagi membaiki tempat letak kereta di 10 buah rumah yang terjejas teruk, melantik jururunding tanah untuk menyiasat serta mengkaji struktur tanah dan mengadakan perjumpaan dengan penduduk pada 15 Mei lalu untuk menjelaskan hasil siasatan tersebut.

Menurut beliau, PKNS juga telah menyerahkan permohonan untuk pelan kerja-kerja baik pulih infrastruktur kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 3 Julai lalu dan telah menerima balasannya dua hari kemudian.

"PKNS juga telah melantik kontraktor untuk memantau pergerakan struktur dalaman bangunan selama enam bulan. Pemasangan alat pemantau itu telah dilakukan pada 7 Julai lalu di dua buah rumah sebelum kerja-kerja baik pulih ruang belakang rumah dan sistem paip pembentungan dilakukan sebulan selepas itu.

"Tempoh masa sebulan itu diperlukan untuk mengelakkan gangguan kepada bacaan pergerakan struktur bangunan. Kerja-kerja baik pulih akan bermula pada Ogos ini dan dijadualkan siap dalam masa dua bulan," katanya dalam satu kenyataan itu.

Justeru, Wazir menegaskan, PKNS tidak akan sesekali mengabaikan tanggungjawab selaku pemilik tanah dan tidak menolak kemungkinan pemilik rumah tidak mengetahui kerja pembaikan yang dilakukan kerana tiada komunikasi yang membolehkan penduduk mengetahui perkara itu.

Ujar beliau lagi, projek perumahan di Jalan Plumbum sebenarnya dimajukan oleh syarikat swasta, PCM Bina Sdn. Bhd. yang kini boleh dikatakan telah bersikap lepas tangan terhadap masalah tersebut selain tidak dapat dihubungi oleh pihak PKNS.

Menyedari kesusahan yang dihadapi oleh pemilik rumah semasa kerja-kerja pembaikan dilakukan, kata beliau, PKNS telah menawarkan rumah sementara di Alam Nusantara sehingga kerja-kerja pembaikan selesai dan menawarkan wang tunai RM2,000 sebulan kepada pemilik rumah yang tidak mahu berpindah.

"Jika pilihan yang diberikan masih tidak dapat memuaskan hati pemilik rumah, pihak PKNS juga telah bersetuju untuk membeli semula rumah-rumah yang terlibat dalam kerosakan tersebut pada harga yang munasabah antara pemilik dan PKNS.

"PKNS tidak pernah memandang ringan faktor keselamatan dan keselesaan pemilik rumah dan membuka lebih banyak ruang komunikasi antaranya pemilik rumah boleh menghubungi Careline PKNS di talian 1 800 887567 atau menghantar e-mail ke aduan@pkns.gov," jelas beliau.

Wazir juga memberitahu, pihaknya akan menghantar laporan kepada pemilik setiap dua minggu menerusi newsletter dan membuka pusat kawalan sementara di kawasan Jalan Plumbum dalam masa terdekat bagi membolehkan semua maklumat disalurkan kepada penduduk selain mendapatkan maklum balas mereka.

Sumber: Utusan Malaysia, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0710&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_02.htm&arc=hive

Friday, 30 March 2012

VIO, a new step for PKNS



 PKNS has set up a Business Centre offering serviced suites and virtual offices to business owners aspiring to have an impressive office address without having to incur set-up costs and overheads.


      
VIO @ PKNS BizPoint, Seksyen 7, Shah Alam




The PKNS Business Centre and Virtual Office, also known as VIO, promises entrepreneurs an efficiently serviced office environment. Located at PKNS BizPoint in Shah Alam, VIO organises events for its customers to create opportunities for and encourage business networking.
 

Tuesday, 20 March 2012

PKNS sasar mewah, sederhana, Berita Harian, 19 March 2012

Projek kediaman berpotensi diperluas berdasarkan permintaan menggalakkan

SHAH ALAM: Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mensasarkan pembinaan kediaman mewah dan sederhana sebagai antara projek pembangunan yang berpotensi diperluaskan di negeri ini, berdasarkan permintaan menggalakkan sejak kebelakangan ini.

Berikutan itu, bermula tahun ini sebanyak 11 projek kediaman jenis berkenaan bernilai lebih RM386 juta akan dilaksanakan di wilayah utara di negeri ini membabitkan beberapa kawasan termasuk Shah Alam, Kuala Selangor, Bandar Sultan Sulaiman dan Alam Nusantara.

Kontroler Pembangunan Wilayah Utara PKNS, Siti Zubaidah Abd Jabar, berkata tumpuan PKNS kini
ialah membina kediaman mewah dan sederhana selepas perbadanan itu berjaya memenuhi kuota pembinaan rumah kos rendah seperti ditetapkan.

"Kami menumpukan projek perumahan mewah dan sederhan berdasarkan permintaannya yangmenggalakkan. Tumpuan terhadap kediaman jenis itu sedang pesat dilaksanakan selepas kuota perumahan kos rendah seperti ditetapkan berjaya dipenuhi sebelum ini.

"Bagi 2012, 11 projek dengan nilai lebih RM386 juta membabitkan kediaman mewah dan sederhana sedang dilaksanakan terutama di kawasanKuala Selangor, Shah Alam, Bandar Sultan Sulaiman dan Alam Nusantara," katanya selepas majlis penyerahan kunci kepada tujuh pembeli rumah berkembar tiga tingkat Kristal Idaman bernilai RM1.2 juta seunit di Seksyen 7, dekat sini, semalam.

Siti Zubaidah berkata, kejayaan pihaknya menjual 285 unit perumahan jenis mewah dan sederhana di Kuala Selangor tahun lalu, menjadi bukti potensi pasaran bagi projek perumahan jenis itu kebelakangan ini.

Katanya, pengenalan beberapa insentif dan pakej khas kepada pembeli seperti tawaran rebat RM10,000 seunit dan sistem pagar automatik serta pemasangan unit penghawa dingin di setiap bilik rumah yang dibina, melonjakkan lagi permintaan terhadap perumahan itu.

Wednesday, 7 March 2012

PCM Bina Baik Pulih Rumah Mendap Seksyen 7


SHAH ALAM, 1 MAC 2012 – Pemaju bagi projek rumah teres dua tingkat di Jalan Plumbum Seksyen 7 telah memulakan kerja-kerja baik pulih di tapak tanah mendap semalam selepas mendapat persetujuan mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar Shah Alam.

Syarikat PCM Bina yang bertanggungjawab membangunkan projek perumahan terbabit memberitahu kerja-kerja baik pulih di empat buah rumah di Jalan Plumbum 7/101A sedang dijalankan dengan dikawal selia perunding geoteknikal.

“Sebagai langkah sementara, pemaju akan meletakkan pasir ke dalam kawasan yang terlibat sebelum dimampatkan dan permukaan kawasan tersebut akan diletakkan ‘interlocking paver’. 
“Kita jangkakan kerja-kerja baik pulih ini selesai dalam masa lima hari bagi setiap rumah,” kata jurucakap PCM Bina.

Kerja-kerja baik pulih di bahagian tempat letak kereta di salah sebuah rumah yang terlibat

Syarikat itu juga menghargai inisiatif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kerana menyediakan kemudahan penginapan kepada penduduk yang terlibat meskipun perbadanan itu hanya merupakan pemilik tanah dan bukan pemaju projek berkenaan.

“Ini merupakan satu daripada projek penswastaan PKNS di mana syarikat PCM Bina merupakan pemaju projek perumahan terbabit di atas tanah milik perbadanan itu.”

PCM Bina sebelum ini diminta untuk menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera oleh PKNS bagi mengelakkan daripada sebarang kemungkinan berlaku.

Dalam pada itu tidak memandang enteng apa yang berlaku, PKNS akan menentukan langkah susulan yang perlu diambil PCM Bina berdasarkan hasil kajian struktur dan parameter tanah yang dilakukan oleh kontraktor kajian tanah (Soil Investigation Contractor) yang dilantik perbadanan itu yang mana hasil laporannya akan dibentang di mesyuarat penyelarasan mingguan.

Sementara itu, Zain Wahinuddin Idris selaku Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Jalan Plumbum 101-103, berpuashati dengan kerja-kerja yang dijalankan dan berharap masalah ini dapat diatasi dengan segera.

PKNS Temui Wakil Penduduk Jalan Plumbum Seksyen 7


SHAH ALAM, 16 FEBRUARI 2012 – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diketuai Pengurus Besarnya, Othman Omar hari ini melakukan lawatan susulan ke tapak kejadian tanah mendap yang berlaku di kawasan perumahan Jalan Plumbum Seksyen 7, dekat sini pagi tadi.

Othman bersama pegawai-pegawai daripada jabatan yang terlibat, melakukan tinjauan rapi selain mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan penduduk.

Dalam pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Jalan Plumbum 101-103, Tanzil Md Noor dan Setiausahanya, Zain Wahinuddin Idris, Othman berkata, PKNS akan memastikan langkah-langkah perlu, yang mengambil kira aspek keselamatan penduduk yang terlibat akan segera diambil.

Katanya, PKNS telah melantik perunding struktur untuk mengkaji keadaan tanah sementara MBSA yang akan bertindak sebagai penyelaras dalam merangka tindakan selepas ini telah pun meminta IKRAM membuat kajian dan analisis berhubung kejadian berkenaan.

“Hasil laporan kajian IKRAM dan perunding struktur PKNS nanti akan diselaraskan dalam satu mesyuarat penyelarasan yang akan dijalankan pada Isnin depan,” katanya.

Othman Omar meninjau kawasan perkarangan salah sebuah rumah yang terjejas besama dengan persatuan penduduk

Di dalam pertemuan itu juga, Othman turut memberikan komitmen sepenuhnya untuk memastikan kerja-kerja pembaikan di unit rumah yang terlibat akan dijalankan oleh pihak pemaju iaitu PCM Bina.

Pertemuan yang berlangsung harmoni ini sedikit sebanyak meredakan kebimbangan penduduk di kawasan berkenaan. Jawatankuasa penduduk juga menghargai tindakan pantas yang telah diambil oleh agensi-agensi terlibat seperti MBSA, PKNS dan IKRAM dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Sementara itu, penghuni sebuah rumah yang terjejas akibat kejadian ini telah dipindahkan ke Hotel De Palma Shah Alam sehingga kerja-kerja siasatan dan pembaikan selesai dijalankan.