Thursday, 20 September 2012

Pegawai PKNS Dibekal Galaxi Tab

KUALA LUMPUR -  Pasukan Tindak Balas (RT) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) mengambil inisiatif untuk mewujudkan akaun di laman sosial Facebook bagi memudahkan orang ramai membuat aduan.

Pengurus Perkhidmatan Pelanggan PKNS, Mohd. Wazir Abdul Gani, 48, berkata, pengguna boleh membuat aduan dengan melayari Facebook PKNS Response Team yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai PKNS.

“Untuk tujuan ini pegawai RT PKNS dibekalkan dengan Galaxi Tab untuk membolehkan mereka menjawab segera aduan penduduk termasuk aduan yang dibuat di luar waktu pejabat,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Menurut Mohd Wazir, cadangan untuk mewujudkan laman Facebook tersebut bermula selepas pihaknya menyedari kewujudan beberapa akaun di laman sosial tersebut yang menyebarkan berita tidak tepat mengenai perkhidmatan yang dikendalikan oleh PKNS.

Mohd Wazir menambah, RT sangat menghargai aduan yang dikemukakan di laman web tersebut, bagaimanapun berharap agar pengguna tidak hanya membuat aduan kosong tanpa disertakan dengan maklumat terperinci bagi membolehkan tindakan diambil secepat mungkin.

Tambah beliau, PKNS sebelum ini pernah berhadapan dengan situasi di mana pengguna memberikan aduan secara tidak serius menyebabkan tindakan tidak dapat diambil hingga terpaksa membuat dialog bersama penduduk bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah yang dihadapi penduduk.

“Bagaimanapun kewujudan akaun Facebook ini juga membawa lebih kebaikan apabila ada penduduk yang memuatturun gambar kerosakan sebagai bukti semasa membuat aduan,” katanya lagi.

Namun, kata beliau, pengguna yang tidak gemar menggunakan Facebook masih boleh menghubungi RT di talian bebas tol 1-800-7567 (PKNS).

Pasukan RT telah ditubuhkan pada 2010 bagi menguruskan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan rumah yang dibina oleh PKNS. Buat masa kini, pasukan tersebut mempunyai 40 anggota dan tujuh van untuk memudahkan mereka bergerak ke lokasi aduan.

Sumber: Mynewshub http://mynewshub.my/2012/06/20/pegawai-pkns-di-bekal-galaxi-tab/.

No comments:

Post a Comment