Showing posts with label plumbum. Show all posts
Showing posts with label plumbum. Show all posts

Wednesday, 7 March 2012

PCM Bina Baik Pulih Rumah Mendap Seksyen 7


SHAH ALAM, 1 MAC 2012 – Pemaju bagi projek rumah teres dua tingkat di Jalan Plumbum Seksyen 7 telah memulakan kerja-kerja baik pulih di tapak tanah mendap semalam selepas mendapat persetujuan mesyuarat penyelarasan yang dipengerusikan oleh Datuk Bandar Shah Alam.

Syarikat PCM Bina yang bertanggungjawab membangunkan projek perumahan terbabit memberitahu kerja-kerja baik pulih di empat buah rumah di Jalan Plumbum 7/101A sedang dijalankan dengan dikawal selia perunding geoteknikal.

“Sebagai langkah sementara, pemaju akan meletakkan pasir ke dalam kawasan yang terlibat sebelum dimampatkan dan permukaan kawasan tersebut akan diletakkan ‘interlocking paver’. 
“Kita jangkakan kerja-kerja baik pulih ini selesai dalam masa lima hari bagi setiap rumah,” kata jurucakap PCM Bina.

Kerja-kerja baik pulih di bahagian tempat letak kereta di salah sebuah rumah yang terlibat

Syarikat itu juga menghargai inisiatif Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kerana menyediakan kemudahan penginapan kepada penduduk yang terlibat meskipun perbadanan itu hanya merupakan pemilik tanah dan bukan pemaju projek berkenaan.

“Ini merupakan satu daripada projek penswastaan PKNS di mana syarikat PCM Bina merupakan pemaju projek perumahan terbabit di atas tanah milik perbadanan itu.”

PCM Bina sebelum ini diminta untuk menyelesaikan masalah ini dengan kadar segera oleh PKNS bagi mengelakkan daripada sebarang kemungkinan berlaku.

Dalam pada itu tidak memandang enteng apa yang berlaku, PKNS akan menentukan langkah susulan yang perlu diambil PCM Bina berdasarkan hasil kajian struktur dan parameter tanah yang dilakukan oleh kontraktor kajian tanah (Soil Investigation Contractor) yang dilantik perbadanan itu yang mana hasil laporannya akan dibentang di mesyuarat penyelarasan mingguan.

Sementara itu, Zain Wahinuddin Idris selaku Setiausaha Jawatankuasa Penduduk Jalan Plumbum 101-103, berpuashati dengan kerja-kerja yang dijalankan dan berharap masalah ini dapat diatasi dengan segera.

PKNS Temui Wakil Penduduk Jalan Plumbum Seksyen 7


SHAH ALAM, 16 FEBRUARI 2012 – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang diketuai Pengurus Besarnya, Othman Omar hari ini melakukan lawatan susulan ke tapak kejadian tanah mendap yang berlaku di kawasan perumahan Jalan Plumbum Seksyen 7, dekat sini pagi tadi.

Othman bersama pegawai-pegawai daripada jabatan yang terlibat, melakukan tinjauan rapi selain mengadakan pertemuan dengan wakil persatuan penduduk.

Dalam pertemuan dengan Pengerusi Jawatankuasa Penduduk Jalan Plumbum 101-103, Tanzil Md Noor dan Setiausahanya, Zain Wahinuddin Idris, Othman berkata, PKNS akan memastikan langkah-langkah perlu, yang mengambil kira aspek keselamatan penduduk yang terlibat akan segera diambil.

Katanya, PKNS telah melantik perunding struktur untuk mengkaji keadaan tanah sementara MBSA yang akan bertindak sebagai penyelaras dalam merangka tindakan selepas ini telah pun meminta IKRAM membuat kajian dan analisis berhubung kejadian berkenaan.

“Hasil laporan kajian IKRAM dan perunding struktur PKNS nanti akan diselaraskan dalam satu mesyuarat penyelarasan yang akan dijalankan pada Isnin depan,” katanya.

Othman Omar meninjau kawasan perkarangan salah sebuah rumah yang terjejas besama dengan persatuan penduduk

Di dalam pertemuan itu juga, Othman turut memberikan komitmen sepenuhnya untuk memastikan kerja-kerja pembaikan di unit rumah yang terlibat akan dijalankan oleh pihak pemaju iaitu PCM Bina.

Pertemuan yang berlangsung harmoni ini sedikit sebanyak meredakan kebimbangan penduduk di kawasan berkenaan. Jawatankuasa penduduk juga menghargai tindakan pantas yang telah diambil oleh agensi-agensi terlibat seperti MBSA, PKNS dan IKRAM dalam membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi mereka.

Sementara itu, penghuni sebuah rumah yang terjejas akibat kejadian ini telah dipindahkan ke Hotel De Palma Shah Alam sehingga kerja-kerja siasatan dan pembaikan selesai dijalankan.