Thursday 20 September 2012

PKNS Wujud 312 JMB Di Seluruh Selangor

SHAH ALAM – Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) menubuhkan sebanyak 312 pejabat pengurusan Badan Pengurusan Bersama (JMB) di 42,000 unit pangsapuri agensi tersebut di seluruh Selangor.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata, daripada jumlah pejabat tersebut, sebanyak 103 pejabat JMB  telah diserahkan kepada penduduk pangsapuri dan diuruskan sendiri oleh pemilik berdaftar.

“JMB yang lain masih di bawah tanggungan PKNS memandangkan ia masih dalam proses penyerahan selain terdapat permintaan penduduk yang mahu pemaju menguruskannya,” katanya melalui satu kenyataan media hari ini.

Ishak berkata, antara kejayaan yang diperoleh melalui JMB adalah kewujudan pusat komuniti Anjung PKNS yang yang turut menyediakan kelas ulang kaji selepas waktu sekolah kepada golongan pelajar di pangsapuri berkenaan.

Menurutnya, ia selaras dengan objektif menyumbang kepada pembangunan komuniti serta modal insan melalui program pembangunan keluarga, latihan pembelajaran dan bimbingan akademik secara berterusan kepada kanak-kanak di pangsapuri terbabit.

Jelas beliau, PKNS memperuntukkan dana sebanyak RM65,000 bagi kerja-kerja membina pusat komuniti yang berkeluasan 1200 kaki persegi, selain RM40,000 semasa pusat komuniti itu mula beroperasi demi kesejahteraan penduduk. – mynewshub.my

Sumber: mynewshub http://mynewshub.my/2012/09/04/pkns-wujudkan-312-jmb-di-seluruh-selangor/.

No comments:

Post a Comment