Thursday 20 September 2012

Anjung PKNS Bantu Pelajar

Pusat Komuniti hasil kerjasama erat PKNS dan penduduk melalui JMB”
SHAH ALAM, 4 September 2012 – Jika anda ke kawasan flat kos rendah Seksyen 7 Shah Alam, jangan terkejut apabila melihat sekumpulan kanak-kanak dan remaja sekolah berlegar-legar di kaki lima blok 36 perumahan itu.
Mungkin tanggapan pertama yang terlintas, mereka sedang  menuju ke kafe siber, atau juga melepak. Walaupun itu sterotype atau imej yang sering dikaitkan dengan kehidupan di flat kos rendah-jangan tersalah sangka.
Mereka sebenarnya sedang menuju ke Anjung PKNS, pusat komuniti yang disediakan pemaju perumahan itu sebagai sebahagian dari aktiviti CSRnya bagi membolehkan setiap pelajar sekolah di flat perumahan itu mendapat peluang menyertai kelas ulangkaji selepas waktu sekolah.
Pengurus Perhubungan Awam PKNS, Ishak Hashim berkata, Anjung PKNS yang juga merupakan projek perintis diharapkan dapat menyumbang kepada pembangunan komuniti serta modal insan melalui program pembangunan keluarga, latihan pembelajaran dan bimbingan akademik secara berterusan kepada anak-anak penghuni pangsapuri tersebut.
"Anjung PKNS mula beroperasi pada 1 November 2011 dengan mensasarkan pelajar-pelajar sekolah menengah dan rendah yang diselia oleh tutor sukarelawan. Kami memperuntukkan dana sebanyak RM65,000 bagi kerja-kerja membina pusat komuniti yang berkeluasan 1200 kaki persegi, selain RM40,000 semasa pusat ini mula beroperasi,” kata Ishak.
Sementara itu, penduduk, Aminuddin Samsi, 43, berkata, beliau menyokong penuh usaha murni PKNS kerana menubuhkan pusat komuniti  yang banyak memberi faedah kepada penduduk pangsapuri.
Beliau sendiri menghantar anak perempuannya yang bakal menduduki Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) tahun ini bagi mengikuti program ulangkaji pelajaran kerana kedudukan pusat komuniti yang berdekatan dengan rumah.
"Saya berterima kasih kepada pihak PKNS kerana begitu mengambil berat tentang pendidikan anak-anak kami di sini. Selama beberapa bulan anak saya belajar di sini, saya melihat terdapat peningkatan dalam pelajarannya.
“Lagipun kami tidak perlu membayar apa-apa yuran untuk menghantar anak ke sini selain keselamatan anak-anak juga terjamin kerana kedudukan pusat komuniti yang dekat dengan rumah," katanya.
Aminuddin berkata, dengan penubuhan Anjung PKNS terbabit, gejala lepak yang berleluasa di kalangan pelajar sekolah juga berkurangan memandangkan mereka sudah mempunyai tempat lepak dan santai kerana pusat komuniti itu turut menyediakan komputer sumbangan PKNS untuk kegunaan pelajar.
"PKNS telah banyak membantu menyediakan kemudahan kepada penduduk pangsapuri seperti kemudahan pendidikan untuk anak-anak selain menyediakan tempat untuk komuniti di sini berkumpul mengadakan sesuatu aktiviti sehingga dapat mengeratkan ikatan kejiranan.”
Menurut Ishak, kejayaan pusat komuniti ini juga disebabkan oleh kerjasama PKNS melalui Badan Pengurusan Bersama atau JMB flat berkenaan.
“Pusat komuniti berkenaan yang terletak di bawah seliaan Joint Management Body (JMB) flat berkenaan dapat membangunkan aspek sosial, ekonomi, kewangan dan keagamaan bagi penduduk setempat secara keseluruhannya.”
"Penubuhan JMB atau Badan Pengurusan Bersama ini adalah perlu bagi setiap pangsapuri selaras dengan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Pengurusan dan Penyelenggaraan Bangunan 2007) atau lebih dikenali sebagai Akta 663.”
"JMB ini ditubuhkan supaya dapat menyediakan peluang kepada pembeli  menyenggara, mengurus bangunan dan harta bersama. Peluang ini diharapkan dapat digunakan oleh pemilik lain bagi mendapat pengalaman dalam soal pengurusan selain menjalin hubungan lebih rapat dengan pemaju," katanya.
Menurut Ishak,  sebanyak 312 pejabat pengurusan JMB di 42,000 unit pangsapuri PKNS seluruh Selangor telah diwujudkan selepas Akta 663 diwartakan oleh kerajaan.
Daripada jumlah berkenaan, kira-kira 103 JMB telah diserahkan kepada penduduk pangsapuri supaya dapat diuruskan sendiri oleh pemilik berdaftar, manakala selebihnya di bawah tanggungan PKNS memandangkan ia masih dalam proses penyerahan selain permintaan penduduk yang mahu pemaju menguruskannya. 

No comments:

Post a Comment