Thursday 20 September 2012

PKNS A rangkul gelaran zon Timur


PASUKAN PKNS A dibarisi Ahmad Aizat, Norshahruddin serta Suhaimi bersama hadiah kemenangan kategori Lelaki Terbuka di Kuala Terengganu, semalam. Turut kelihatan (dua dari kiri) Hassan, Rosniza, Wan Ahmad Farid serta Mohd. Nasir

Oleh Oleh SITI AIRUNNISA ALAUI
utusankt@utusan.com.my

KUALA TERENGGANU - PKNS A menjuarai kategori Lelaki Terbuka Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2012 peringkat zon Timur selepas menewaskan pasukan Mazatech B pada perlawanan akhir di Stadium Negeri, semalam.

PKNS A yang dibarisi Ahmad Aizat Mohd. Norazmi, Norshahruddin Mad Ghani serta Suhaimi Yusof bagaimanapun dikerah dalam permainan set penentuan sebelum menang.

Juara yang dibarisi bekas pemain kebangsaan dan pelapis itu menang set pertama 15-11 tetapi tewas 10-15 kemudiannya sebelum bangkit 15-12 dalam set penentuan.

Lawan mereka menampilkan gandingan Muhammad Zulkifli Abd. Razak, Abd. Rahman Wahab dan Amirul Zazwan Amir.

Selaku juara, PKNS A membawa pulang RM2,500, trofi dan barangan cedera hati manakala Mazatech B pulang RM2,000.

Hadiah disampaikan oleh Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh.

Hadir sama Pengarah Eksekutif Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Nasir Ali, Pengarang Utusan Malaysia, Hassan Mohd. Noor serta Pengurus Besar Komunikasi Korporat KFC Holding, Rosniza Baharum.

Dalam pada itu, pengurus pasukan PKNS, Adnan Mohd. Harun menyifatkan kemenangan itu amat bermakna bagi pasukannya setelah gagal dalam saingan di peringkat zon Utara dan Selatan.

"Kami ucapkan terima kasih kepada pengurusan kelab sukan dan rekreasi PKNS yang beri sokongan padu sehingga kami muncul juara dan kami menunggu untuk bersaing di peringkat kebangsaan nanti," katanya.

Turut berkongsi kegembiraan, kategori Lelaki Bawah 20 apabila menyaksikan pasukan Pasta yang dianggotai oleh Md. Shami Husin, Md. Hafizudin Wahab, Md. Faiz Jalal, Rahmat Md. Jusoh Aimmullah Alwi merangkul kejuaraan apabila mengetepikan cabaran Gastep 15-11, 15-11 yang dibarisi Mohd. Farhan Norulwatan, Muhammad Afifuddin Mohd. Razali dan Mohd. Faizol Anuar.

Bagi kategori Lelaki Bawah 16 pula, SSTBN A yang dibarisi Mohd. Amirul Asyraaf Khairul Anuar,
Shahrul Azizi Abdullah dan Muhammad Azwan Muhrim memberi tentangan sengit dengan mengalahkan SMKS 11 diterajui Nor Hidayat Ar Rasyid, Muhd. Syahrudin Hafiz Zainon dan Muhd. Firdaus Zainal 16-14, 15-6.

Pasukan MSN Kelantan yang terdiri daripada gabungan murid Sekolah Kebangsaan (SK) Bakong, Bachok dan SK Alor Bakat yang dianggotai oleh Mohamad Zailani Zawawi, Mohd. Haikal Irfan Mohd. Zain, Muhamad Saifulneizan Rostam, Muhammad Rezuiwan Mohd Rozali dan Muhamad Haiqal Majid mengungguli kategori Lelaki Bawah 12 selepas menewaskan SK Seri Bandi A 15-8, 15-17,15-11 yang dibarisi Muhammad Khairi Rosli, Wan Ahmad Wan Zull Paka, Zulkifli Amirul Jusoh dan Muhammad Syafiq Adenan.

Juara kategori Lelaki Bawah 20 membawa pulang RM2,000, trofi manakala naib juara menerima RM1,500 dan sagu hati RM350 beserta trofi manakala juara bagi kategori Lelaki Bawah 16 menerima RM1,500 dan naib juara RM1,000, sagu hati RM150 beserta trofi.

Selain itu, juara bagi kategori Lelaki Bawah 12 memenangi RM1,000 dan naib juara RM500, sagu hati RM150 beserta trofi.

Sumber: Utusan Malaysia, 16 September 2012 http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20120916/su_03/PKNS-A-rangkul-gelaran--zon-Timur

No comments:

Post a Comment