Thursday 2 August 2012

3 syarikat kerajaan negeri serah zakat RM7.79 juta


"PKNS Jelas Zakat Perniagaan Berjumlah RM4.39 Juta"


SHAH ALAM 24 Julai - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat perniagaan sebanyak RM7.79 juta daripada tiga anak syarikat kerajaan negeri pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Sumbangan yang diterima daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebanyak RM4.39 juta dan Permodalan Negeri Selangor Bhd. (PNSB) sebanyak RM2.04 juta adalah bagi zakat tahun ini, manakala Worldwide Holdings Bhd. (WHB) menunaikan zakat berjumlah RM1.36 juta bagi 2011.

PKNS diwakili oleh Pengurus Besarnya, Othman Omar; PNSB oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Omar dan WHB diwakili oleh pengerusinya, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman.

Pada majlis sama, Sultan Selangor berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 100 asnaf fakir, 100 asnaf miskin dan 100 asnaf anak yatim serta 100 asnaf mualaf.

Kesemua mereka menerima sumbangan RM400 setiap seorang, manakala anak yatim sebanyak RM100 seorang.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

Pada majlis tersebut, Sultan Selangor turut berkenaan menyampaikan Anugerah Tokoh Usahawan Asnaf Cemerlang kepada lima usahawan asnaf terbaik iaitu Muhamad Burhan Salikon bagi kategori perniagaan makanan; Mohd. Yatim Ab. Ghani (perniagaan bergerak) dan Sharifah Surit (perniagaan perkhidmatan).

Turut menerima anugerah ialah usahawan peruncitan dan pembuatan, Sheikh Abd. Rahim Sheikh Yahya dan usahawan asas tani, Sakilla Hanis Mohamed.

Usahawan tersebut sebelum ini merupakan penerima bantuan modal perniagaan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan kesemuanya telah terkeluar daripada kategori asnaf miskin setelah berjaya dalam perniagaan masing-masing.

Mereka juga telah mula membayar zakat kepada LZS sejak tahun lalu.

No comments:

Post a Comment