Thursday 2 August 2012

Pesta Buku Selangor 2012

Oleh: Adli Shahar 


PESTA Buku Selangor 2012 di Pusat Konvensyen Shah Alam mencatat jumlah peserta paling banyak sejak dianjurkan tujuh tahun lalu dengan 80 mengambil bahagian di 163 lot gerai.


Antara peserta pesta ialah Karangkraf Sdn Bhd, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), PTS Publications and Distributors Sdn Bhd, Al-Ameen, Sasbadi, Al-Hidayah, dan Cerdik Publication. 


Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhammad berkata, kami selaku penganjur yakin bahawa pesta kali ini akan membawa lebih ramai pengunjung, sekali gus mengatasi rekod tahun lalu, berdasarkan kepada peningkatan jumlah penyertaan yang diterima tahun ini. 




“Tahun ini kami mensasarkan 450,000 berbanding 353,000 pengunjung yang dicatatkan tahun lalu. Hendaknya dengan perubahan dan pembaharuan pada tahun ini, akan berlaku lonjakan Pesta Buku Selangor di tempat kedua terbesar, selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya pada perasmian Hari Ilmu dan Pesta Buku Selangor 2012 di di Pusat Konvensyen Shah Alam, baru-baru ini.

Pesta Buku Selangor 2012 anjuran bersama PPAS dengan Kerajaan Negeri Selangor selama 11 hari bermula 29 Jun hingga 9 Julai ini dan dibuka pada jam 10 pagi hingga 9 malam. 

Beliau berkata, Pesta Buku Selangor sebelum ini berlangsung di Kompleks PKNS Shah Alam, sebelum dipindahkan ke lokasi sekarang pada 2011 bagi membolehkan banyak penyertaan dan pengunjung ditingkatkan.

Tahun lalu, Pesta Buku Selangor menampilkan 75 peserta mengambil bahagian di 157 lot gerai, manakala 58 peserta di 114 lot gerai pada 2010. 



Bersempena pesta terbabit, Kempen ‘15 Minutes Reading Break’ turut diadakan secara serentak di daerah lain di Selangor dan majlis turut menyaksikan bekas wartawan Utusan Melayu, Said Zahari, dinobatkan sebagai penerima Tokoh Penulis Selangor yang melayakkannya menerima wang tunai RM10,000, manakala Prof Datuk Dr Raja Abdullah Yaakob menerima Anugerah Tokoh Pustakawan.

“Jika tahun lalu kita ketengahkan golongan penulis sebagai pendukung tradisi keilmuan, kali ini kita turut mengangkat pustakawan yang selama ini kurang diambil perhatian oleh masyarakat kerana sumbangan besar mereka dalam industri bacaan negara,” katanya.


Sumber Berita Harian,
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2012070306202220120703062022/Article/

No comments:

Post a Comment