Thursday 26 July 2012

Akademi PKNS Tawar Program Peringkat Antarabangsa


“Jalin Kerjasama Dengan Institut Korea Selatan”

Pengurus Besar PKNS, Othman Omar (tiga dari kiri) bersama Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Pembangunan) PKNS, Noraida Mohd Yusof bergambar kenangan bersama tetamu kehormat pada pelancaran Program Sijil CITL baru-baru ini. 


SHAH ALAM, 26 Julai 2012: Akademi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) buat julung-julung kalinya memperkenalkan Program Sijil Perdagangan Antarabangsa dan Undang-Undang (CITL) yang dijalankan dengan kerjasama Institut Perdagangan Antarabangsa dan Undang-Undang (ITLI) Korea Selatan.

Pengurus Besar PKNS, Othman Omar berkata, Akademi PKNS dilantik sebagai pemegang hak eksklusif francais program tersebut di AsiaTenggara.

“Kami yakin program ini dapat meningkatkan kecekapan peserta sebagai pakar dalam bidang undang-undang dan amalan antarabangsa serta mencerminkan apa yang mereka ingin capai dalam persekitaran global,” katanya.

Program tersebut yang mengambil jangkamasa enam bulan diterajui oleh Profesor Dr Eun Sup Lee dari Universiti Pusan, Korea Selatan dan telah diterima pakai di pelbagai universiti serantau dunia termasuk di Amerika Syarikat, Perancis dan China.

Dengan yuran sebanyak RM15,000, peserta berpeluang mengikuti enam modul, antaranya pengurusan perdagangan antarabangsa, undang-undang perdagangan antarabangsa dan amalan, peraturan-peraturan perdagangan dunia, insuran dan pengangkutan antarabangsa serta dokumentasi dan komunikasi perdagangan.

Kuliah akan diadakan pada hari minggu untuk jangkamasa enam bulan dan dikendalikan oleh pensyarah berpengalaman dari dalam serta dan luar negara yang diiktiraf oleh ITLI.

Pengambilan akan dibuka pada Januari, Mac, Julai, September dan November setiap tahun kepada individu yang mempunyai kelayakan akademik degree, master atau profesional dan lima tahun pengalaman bekerja atau mereka yang tidak mempunyai kelayakan pendidikan formal disyaratkan memiliki pengalaman lapan tahun dalam persekitaran perdagangan antarabangsa.

Peserta yang tamat program akan mendapat sijil akreditasi dari Kementerian Tanah, Laut dan Pengangkutan Korea Selatan yang diiktiraf di serata dunia.

Seorang pelatih undang-undang, Muhammad Alif Muspri, 21, yang berkesempatan menghadiri pelancaran program tersebut berkata modul latihan program berkenaan amat baik.

“Program sebegini akan dapat meningkatkan pengetahuan sekaligus meningkatkan pasaran individu tersebut untuk bersaing dalam era kerjaya yang semakin mencabar memandangkan ramai lulusan dilahirkan saban tahun,” katanya.

Sahabatnya, Ahmad Al-Amin Mohd Fuad Salim, 22, berkata, individu yang berminat untuk berjinak-jinak dalam bidang perdagangan antarabangsa seharusnya merebut peluang untuk menyertai program tersebut.

“Menceburi bidang perdagangan antarabangsa bukan sesuatu yang mustahil pada masa kini kerana semua kemudahan berada di hujung jari. Hanya mereka yang berani mengambil peluang sahaja akan berjaya,” katanya.

Mereka yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut, boleh menghubungi Akademi PKNS di talian 03-79602268.

No comments:

Post a Comment