Tuesday 10 July 2012

PKNS kecewa tindakan penduduk Jalan Plumbum


SHAH ALAM 9 Julai - Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) kecewa dengan tindakan sebahagian penduduk di Jalan Plumbum, Seksyen 7 di sini yang mengadakan piket berhubung masalah tanah mendap di kawasan perumahan itu.

Pengurus Perkhidmatan Pelanggan PKNS, Mohd. Wazir Abdul Gani berkata, ini kerana PKNS telah mengambil beberapa langkah untuk mengatasi masalah tersebut sejak perkara itu dibangkitkan pada Februari lalu yang melibatkan Jalan Plumbum 7/101 A, 7/101 B dan 7/101 C.

Mohd. Wazir, dalam kenyataan akhbarnya memaklumkan, antara tindakan yang telah dilakukan oleh PKNS ialah dengan melantik kontraktor bagi membaiki tempat letak kereta di 10 buah rumah yang terjejas teruk, melantik jururunding tanah untuk menyiasat serta mengkaji struktur tanah dan mengadakan perjumpaan dengan penduduk pada 15 Mei lalu untuk menjelaskan hasil siasatan tersebut.

Menurut beliau, PKNS juga telah menyerahkan permohonan untuk pelan kerja-kerja baik pulih infrastruktur kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pada 3 Julai lalu dan telah menerima balasannya dua hari kemudian.

"PKNS juga telah melantik kontraktor untuk memantau pergerakan struktur dalaman bangunan selama enam bulan. Pemasangan alat pemantau itu telah dilakukan pada 7 Julai lalu di dua buah rumah sebelum kerja-kerja baik pulih ruang belakang rumah dan sistem paip pembentungan dilakukan sebulan selepas itu.

"Tempoh masa sebulan itu diperlukan untuk mengelakkan gangguan kepada bacaan pergerakan struktur bangunan. Kerja-kerja baik pulih akan bermula pada Ogos ini dan dijadualkan siap dalam masa dua bulan," katanya dalam satu kenyataan itu.

Justeru, Wazir menegaskan, PKNS tidak akan sesekali mengabaikan tanggungjawab selaku pemilik tanah dan tidak menolak kemungkinan pemilik rumah tidak mengetahui kerja pembaikan yang dilakukan kerana tiada komunikasi yang membolehkan penduduk mengetahui perkara itu.

Ujar beliau lagi, projek perumahan di Jalan Plumbum sebenarnya dimajukan oleh syarikat swasta, PCM Bina Sdn. Bhd. yang kini boleh dikatakan telah bersikap lepas tangan terhadap masalah tersebut selain tidak dapat dihubungi oleh pihak PKNS.

Menyedari kesusahan yang dihadapi oleh pemilik rumah semasa kerja-kerja pembaikan dilakukan, kata beliau, PKNS telah menawarkan rumah sementara di Alam Nusantara sehingga kerja-kerja pembaikan selesai dan menawarkan wang tunai RM2,000 sebulan kepada pemilik rumah yang tidak mahu berpindah.

"Jika pilihan yang diberikan masih tidak dapat memuaskan hati pemilik rumah, pihak PKNS juga telah bersetuju untuk membeli semula rumah-rumah yang terlibat dalam kerosakan tersebut pada harga yang munasabah antara pemilik dan PKNS.

"PKNS tidak pernah memandang ringan faktor keselamatan dan keselesaan pemilik rumah dan membuka lebih banyak ruang komunikasi antaranya pemilik rumah boleh menghubungi Careline PKNS di talian 1 800 887567 atau menghantar e-mail ke aduan@pkns.gov," jelas beliau.

Wazir juga memberitahu, pihaknya akan menghantar laporan kepada pemilik setiap dua minggu menerusi newsletter dan membuka pusat kawalan sementara di kawasan Jalan Plumbum dalam masa terdekat bagi membolehkan semua maklumat disalurkan kepada penduduk selain mendapatkan maklum balas mereka.

Sumber: Utusan Malaysia, http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0710&pub=utusan_malaysia&sec=Kota&pg=wk_02.htm&arc=hive

No comments:

Post a Comment