Wednesday 27 June 2012

Pasukan RT PKNS Kini Di Facebook


Pasukan RT PKNS sentiasa bersedia menerima aduan pemilik,  termasuk di laman sosial Facebook.
SHAH ALAM: Seiring dengan perkembangan semasa, Pasukan Tindak Balas (RT - Response Team) Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) telah mengambil inisiatif untuk mewujudkan akaun di laman sosial Facebook bagi memudahkan penduduk untuk membuat aduan.


Pengurus Perkhidmatan Pelanggan PKNS, Mohd Wazir Abdul Gani, 48, berkata, pengguna boleh membuat aduan dengan melayari Facebook PKNS Response Team yang dikendalikan oleh pegawai-pegawai PKNS. 


"Pegawai PKNS di Pasukan RT dibekalkan dengan Galaxi Tab untuk membolehkan mereka menjawab segera aduan penduduk termasuk aduan yang dibuat di luar waktu pejabat," katanya. 


Menurut Mohd Wazir, cadangan untuk mewujudkan laman Facebook tersebut bermula selepas pihaknya menyedari kewujudan beberapa akaun di laman sosial tersebut yang menyebarkan berita tidak tepat mengenai perkhidmatan yang dikendalikan oleh PKNS.

Mohd Wazir menambah, Pasukan RT sangat menghargai aduan yang dikemukakan di laman web tersebut, bagaimanapun berharap agar pengguna tidak hanya membuat aduan kosong tanpa disertakan dengan maklumat terperinci bagi membolehkan tindakan diambil secepat mungkin.

"Sebelum ini, kami pernah berhadapan dengan situasi di mana pengguna hanya memberikan aduan secara tidak serius menyebabkan tindakan tidak dapat diambil sehinggalah kami membuat dialog bersama penduduk bagi mendapatkan gambaran sebenar masalah yang dihadapi penduduk.
"Bagaimanapun kewujudan akaun Facebook ini juga membawa lebih kebaikan apabila ada penduduk yang memuat turun gambar kerosakan sebagai bukti semasa membuat aduan," katanya.
Selain digunakan sebagai medium untuk mengemukakan aduan, turut dipaparkan di Facebook PKNS Response Team  ialah gambar-gambar kerja pembaikan yang dilakukan, maklumat dan hebahan-hebahan terkini seperti maklumat seminar dan juga penjualan rumah oleh PKNS.
Bagi pengguna yang tidak gemar menggunakan Facebook, mereka boleh menghubungi Pasukan RT di talian bebas tol 1-800-7567 (PKNS).
Pasukan RT telah ditubuhkan pada 2010 bagi menguruskan kerja-kerja pembaikan dan penyelenggaraan rumah yang dibina oleh PKNS. Buat masa kini, pasukan tersebut mempunyai 40 anggota dan tujuh van untuk memudahkan mereka bergerak ke lokasi aduan.
Pasukan yang dikenali dengan slogan Mesra, Cekap dan Segera tersebut berperanan untuk menyiasat dan mengenalpasti aduan pelanggan, membantu kerja-kerja pembaikan dan pembetulan perkhidmatan kepada pelanggan, membantu kerja-kerja pemulihan perkhidmatan dan juga mengambil tindakan proaktif bagi langkah-langkah pencegahan sebelum kerosakan berlaku.

No comments:

Post a Comment