Saturday 28 April 2012

PKNS Berjaya Selesaikan Isu Bukit Botak!

"Wajah ceria peneroka asal Bukit Botak jelas menunjukkan rasa lega dan syukur kerana penantian 20 tahun mereka berakhir selepas PKNS mengambil alih projek berkenaan dan merealisasikan impian mereka"
YB Tan Sri Khalid Ibrahim semasa majlis cabutan undi pada 21 April 2012




Penduduk Bukit Botak dekat sini, gembira apabila projek penempatan semula kampung itu berjalan lancar seperti dirancang.Bagi sekumpulan penduduk yang terbabit dalam undian kediaman rumah berkembar di tapak projek Bukit Botak hari ini, penantian mereka selama puluhan tahun nyata berbaloi.


Penduduk, Abdullah Said, 54, berkata beliau bersyukur kerana hasitatnya menetap di rumah lebih selesa bakal menjadi kenyataan.

"Suasana kini jauh berbeza berbanding ketika kampung ini diteroka awal 1980-an kerana ketika itu tiada bekalan air sehingga kami terpaksa menggali lubang," katanya.



Walaupun tidak dapat melupakan kisah pahit manis ketika mendiami kampung itu, Abdullah berterima kasih kepada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan agensi terbabit dalam merealisasikan penempatan  lebih sempurna. Abdullah adalah antara 707 daripada 1,406 penduduk terbabit dalam proses undian rumah berkembar setingkat dengan keluasan lantai 850 kaki persegi dan dilengkapi tiga bilik tidur serta dua bilik air yang dijangka siap Disember ini.

Didalam salah sebuah rumah di Bukit Botak


Seorang lagi penduduk, Romli Alang Bahak, 53, pula terharu menyaksikan projek perumahan dinantikan sudah hampir siap.

"Saya tinggal di Bukit Botak sejak bujang hingga kini memiliki tujuh anak dan merasai pengalaman hidup tanpa bekalan air, elektrik dan kemudahan jalan raya.

"Saya amat gembira melihat kediaman ditawarkan ini begitu cantik, berkualiti dan tersusun," katanya. Bagi Aziz Said, 71, projek penempatan semula itu membawa makna yang besar kepada dirinya dan keluarga." Akhirnya impian mendapatkan tempat berteduh yang sempurna untuk kami sekeluarga menjadi realiti walaupun menunggu lama," katanya.

PKNS memulakan kerja pembinaan 1,422 unit rumah berkembar di kawasan seluas 66 hektar di Bukit Botak pada September 2010 selepas kerajaan negeri mengambil alih tanah dan projek terbengkalai yang sepatutnya dimajukan sebuah syarikat swasta.

Timbalan Pengurus Besar (Pentadbiran dan Pembangunan) PKNS, Noraida Mohd Yusof berkata, kos pembangunan keseluruhan projek itu mencecah RM216 juta.

"PKNS memberi subsidi RM79.6 juta dengan menawarkan harga kediaman bagi rumah berkembar standard  pada harga RM99,000. Ini satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) PKNS bagi melancarkan pembangunan projek ini. "Kemajuan kerja di tapak setakat ini ialah 72 peratus. PKNS turut menyediakan tapak masjid, tapak tadika dan kawasan lapang untuk rekreasi," katanya


No comments:

Post a Comment