“Jalin Kerjasama Dengan Institut
Korea Selatan”
SHAH ALAM, 26 Julai 2012: Akademi Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor
(PKNS) buat julung-julung kalinya memperkenalkan Program Sijil Perdagangan
Antarabangsa dan Undang-Undang (CITL) yang dijalankan dengan kerjasama Institut
Perdagangan Antarabangsa dan Undang-Undang (ITLI) Korea Selatan.
Pengurus
Besar PKNS, Othman Omar berkata, Akademi PKNS dilantik sebagai pemegang hak
eksklusif francais program tersebut di AsiaTenggara.
“Kami yakin
program ini dapat meningkatkan kecekapan peserta sebagai pakar dalam bidang
undang-undang dan amalan antarabangsa serta mencerminkan apa yang mereka ingin
capai dalam persekitaran global,” katanya.
Program
tersebut yang mengambil jangkamasa enam bulan diterajui oleh Profesor Dr Eun
Sup Lee dari Universiti Pusan, Korea Selatan dan telah diterima pakai di
pelbagai universiti serantau dunia termasuk di Amerika Syarikat, Perancis dan
China.
Dengan yuran
sebanyak RM15,000, peserta berpeluang mengikuti enam modul, antaranya
pengurusan perdagangan antarabangsa, undang-undang perdagangan antarabangsa dan
amalan, peraturan-peraturan perdagangan dunia, insuran dan pengangkutan
antarabangsa serta dokumentasi dan komunikasi perdagangan.
Kuliah akan
diadakan pada hari minggu untuk jangkamasa enam bulan dan dikendalikan oleh
pensyarah berpengalaman dari dalam serta dan luar negara yang diiktiraf oleh
ITLI.
Pengambilan
akan dibuka pada Januari, Mac, Julai, September dan November setiap tahun
kepada individu yang mempunyai kelayakan akademik degree, master atau
profesional dan lima tahun pengalaman bekerja atau mereka yang tidak mempunyai
kelayakan pendidikan formal disyaratkan memiliki pengalaman lapan tahun dalam
persekitaran perdagangan antarabangsa.
Peserta yang
tamat program akan mendapat sijil akreditasi dari Kementerian Tanah, Laut dan
Pengangkutan Korea Selatan yang diiktiraf di serata dunia.
Seorang
pelatih undang-undang, Muhammad Alif Muspri, 21, yang berkesempatan menghadiri
pelancaran program tersebut berkata modul latihan program berkenaan amat baik.
“Program
sebegini akan dapat meningkatkan pengetahuan sekaligus meningkatkan pasaran
individu tersebut untuk bersaing dalam era kerjaya yang semakin mencabar
memandangkan ramai lulusan dilahirkan saban tahun,” katanya.
Sahabatnya,
Ahmad Al-Amin Mohd Fuad Salim, 22, berkata, individu yang berminat untuk
berjinak-jinak dalam bidang perdagangan antarabangsa seharusnya merebut peluang
untuk menyertai program tersebut.
“Menceburi
bidang perdagangan antarabangsa bukan sesuatu yang mustahil pada masa kini
kerana semua kemudahan berada di hujung jari. Hanya mereka yang berani
mengambil peluang sahaja akan berjaya,” katanya.
Mereka yang
berminat untuk mengetahui lebih lanjut, boleh menghubungi Akademi PKNS di
talian 03-79602268.
No comments:
Post a Comment