Thursday 9 August 2012

PKNS FC Bawa Keceriaan Ramadan Bagi Anak Yatim


“Sertai 12O Warga Kerja PKNS jalankan aktiviti gotong-royong”

Bersih.... Kerja membersihkan Rumah Rukaiyah dapat disiapkan dengan cepat kerana amalan gotong-royong

KAJANG, 8 Ogos 2012: Menjejakkan kaki ke Rumah Anak Yatim dan Miskin Rukaiyah, Sungai Merab di sini, baru-baru ini menyebabkan pemain import pasukan PKNS FC, Dawood Nicoise terpaku seketika.
Kenangan dibesarkan di rumah anak yatim pantas menerjah minda, menyebabkan warga Perancis itu tidak sabar-sabar untuk mencurah keringat bagi menceriakan kawasan asrama yang menempatkan 26 kanak-kanak kurang bernasib baik itu.

Dawood memahami perasaan anak yatim

Bagaimana lincah Nicoise, 28, mengawal bola di padang begitu jugalah dia semasa berada di dapur asrama itu. Jejaka dengan ketinggian enam kaki itu sedikit pun tidak kekok untuk membasuh pinggan, mengemas dan menyapu sampah yang lazimnya sering dilakukan golongan wanita.

“Anak yatim mendapat tempat istimewa di hati saya. Saya tidak pernah melepaskan peluang untuk berbakti kepada mereka kerana ia adalah cara untuk saya membalas budi insan mulia yang membantu saya semasa kecil,” katanya.

Penyerang import yang baru tujuh bulan menyarung jersi PKNS FC seterusnya berkata, anak yatim di Malaysia sangat bertuah kerana banyak syarikat berlumba-lumba untuk menghulurkan bantuan dalam melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR)  mereka.

Bantuan yang diberikan pada bulan Ramadhan lebih bermakna ia dapat menceriakan kanak-kanak untuk menyambut Syawal. Lazimnya mereka yang lebih teruja untuk meraikannya selepas sebulan menahan lapar dan dahaga ,” katanya.

Fadhil bangga dapat turut sama menyumbangkan keringat kepada yang kurang bernasib baik
Kapten pasukan PKNC FC, Fadhil Hashim, 29, yang tekun melakukan kerja-kerja mengemas lanskap di pusat jagaan itu berkata, dia berbesar hati untuk menjadi sebahagian daripada peserta program tersebut.

“Silaturahim sesama pemain juga dapat dieratkan menerusi aktiviti gotong-royong dan dalam masa yang sama, pihak ketiga seperti kanak-kanak di pusat jagaan ini mendapat manfaat,” katanya.

Fauzan harap lebih banyak program sebegini dianjurkan
Pemain tengah PKNS FC, Fauzan Dzulkifli, 25, berkata program seperti ini sepatutnya lebih kerap diadakan kerana berbuat baik adalah perkara mulia yang dituntut agama selain dapat menimbulkan keinsafan apabila melihat sendiri kehidupan yang dilalui oleh anak-anak kecil ini. 

Sementara itu, Pengurus Pusat Jagaan, Hasnah Husin melahirkan rasa bersyukur dan berterima kasih kepada rombongan besar PKNS yang membantu menceriakan kawasan persekitaran yang agak sukar untuk dilakukan tanpa bantuan kerana faktor kewangan dan tenaga fizikal. 

“Raya tahun ini lebih bermakna dan akan membawa kenangan manis kerana kami dapat meraikannya dalam suasana yang lebih ceria dan persekitaran yang lebih bersih,” katanya yang bertanggungjawab ke atas 12 kanak-kanak lelaki dan 14 penghuni perempuan berusia antara 10 hingga 16 tahun.

Setiausaha Kerja PKNS, Norita Mohd Sidek (kanan) bergambar kenangan bersama warga kerja PKNS selepas selesai mengasingkan baju terpakai yang boleh didermakan
Aktiviti gotong-royong ini merupakan salah satu daripada program Kasih PKNS yang merupakan inisiatif CSR perbadanan itu. Ia turut disertai oleh 120 warga kerja PKNS.

Antara kerja-kerja baik pulih yang dijalankan termasuk membina bumbung di antara dua blok pejabat dan surau yang membabitkan nilai keseluruhan RM60,000.

Selain itu, blok asrama lelaki pusat jagaan itu juga dicat semula dan kemudahan dalam bilik mandi kanak-kanak itu juga telah diperbaiki.

Program Kasih PKNS berjaya menceriakan persekitaran Rumah Rukaiyah
Di bawah program Kasih PKNS pelbagai bantuan telah dihulurkan kepada masyarakat, termasuklah memberi sumbangan dua buah van jenazah kepada Badan Islam PKNS dan Masjid Al-Ehsan, Seksyen 24,Shah Alam baru-baru ini.

Perbadanan juga telah menghulurkan bantuan pembaikan kediaman 22 golongan miskin dan fakir di enam kawasan di Sabak Bernam bernilai RM396,000 dan bantuan RM10,000 kepada adik Mawar Nur Farisya Farid Alsuwad, 2, yang menghidap penyakit lumpuh otak, jantung berlubang dan injap sempit.  

Terima Kasih Daun Keladi.... Barisan warga kerja PKNS yang bertungkus-lumus membersih dan menceriakan Rumah Rukaiyah

Thursday 2 August 2012

Pesta Buku Selangor 2012

Oleh: Adli Shahar 


PESTA Buku Selangor 2012 di Pusat Konvensyen Shah Alam mencatat jumlah peserta paling banyak sejak dianjurkan tujuh tahun lalu dengan 80 mengambil bahagian di 163 lot gerai.


Antara peserta pesta ialah Karangkraf Sdn Bhd, Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), PTS Publications and Distributors Sdn Bhd, Al-Ameen, Sasbadi, Al-Hidayah, dan Cerdik Publication. 


Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Mastura Muhammad berkata, kami selaku penganjur yakin bahawa pesta kali ini akan membawa lebih ramai pengunjung, sekali gus mengatasi rekod tahun lalu, berdasarkan kepada peningkatan jumlah penyertaan yang diterima tahun ini. 




“Tahun ini kami mensasarkan 450,000 berbanding 353,000 pengunjung yang dicatatkan tahun lalu. Hendaknya dengan perubahan dan pembaharuan pada tahun ini, akan berlaku lonjakan Pesta Buku Selangor di tempat kedua terbesar, selepas Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur,” katanya pada perasmian Hari Ilmu dan Pesta Buku Selangor 2012 di di Pusat Konvensyen Shah Alam, baru-baru ini.

Pesta Buku Selangor 2012 anjuran bersama PPAS dengan Kerajaan Negeri Selangor selama 11 hari bermula 29 Jun hingga 9 Julai ini dan dibuka pada jam 10 pagi hingga 9 malam. 

Beliau berkata, Pesta Buku Selangor sebelum ini berlangsung di Kompleks PKNS Shah Alam, sebelum dipindahkan ke lokasi sekarang pada 2011 bagi membolehkan banyak penyertaan dan pengunjung ditingkatkan.

Tahun lalu, Pesta Buku Selangor menampilkan 75 peserta mengambil bahagian di 157 lot gerai, manakala 58 peserta di 114 lot gerai pada 2010. 



Bersempena pesta terbabit, Kempen ‘15 Minutes Reading Break’ turut diadakan secara serentak di daerah lain di Selangor dan majlis turut menyaksikan bekas wartawan Utusan Melayu, Said Zahari, dinobatkan sebagai penerima Tokoh Penulis Selangor yang melayakkannya menerima wang tunai RM10,000, manakala Prof Datuk Dr Raja Abdullah Yaakob menerima Anugerah Tokoh Pustakawan.

“Jika tahun lalu kita ketengahkan golongan penulis sebagai pendukung tradisi keilmuan, kali ini kita turut mengangkat pustakawan yang selama ini kurang diambil perhatian oleh masyarakat kerana sumbangan besar mereka dalam industri bacaan negara,” katanya.


Sumber Berita Harian,
http://www.bharian.com.my/bharian/articles/2012070306202220120703062022/Article/

3 syarikat kerajaan negeri serah zakat RM7.79 juta


"PKNS Jelas Zakat Perniagaan Berjumlah RM4.39 Juta"


SHAH ALAM 24 Julai - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menerima zakat perniagaan sebanyak RM7.79 juta daripada tiga anak syarikat kerajaan negeri pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Sumbangan yang diterima daripada Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) sebanyak RM4.39 juta dan Permodalan Negeri Selangor Bhd. (PNSB) sebanyak RM2.04 juta adalah bagi zakat tahun ini, manakala Worldwide Holdings Bhd. (WHB) menunaikan zakat berjumlah RM1.36 juta bagi 2011.

PKNS diwakili oleh Pengurus Besarnya, Othman Omar; PNSB oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ahmad Omar dan WHB diwakili oleh pengerusinya, Datuk Mohd. Arif Ab. Rahman.

Pada majlis sama, Sultan Selangor berkenan menyampaikan sumbangan hari raya kepada 100 asnaf fakir, 100 asnaf miskin dan 100 asnaf anak yatim serta 100 asnaf mualaf.

Kesemua mereka menerima sumbangan RM400 setiap seorang, manakala anak yatim sebanyak RM100 seorang.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah; Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan (SUK) negeri, Datuk Mohamed Khusrin Munawi.

Pada majlis tersebut, Sultan Selangor turut berkenaan menyampaikan Anugerah Tokoh Usahawan Asnaf Cemerlang kepada lima usahawan asnaf terbaik iaitu Muhamad Burhan Salikon bagi kategori perniagaan makanan; Mohd. Yatim Ab. Ghani (perniagaan bergerak) dan Sharifah Surit (perniagaan perkhidmatan).

Turut menerima anugerah ialah usahawan peruncitan dan pembuatan, Sheikh Abd. Rahim Sheikh Yahya dan usahawan asas tani, Sakilla Hanis Mohamed.

Usahawan tersebut sebelum ini merupakan penerima bantuan modal perniagaan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan kesemuanya telah terkeluar daripada kategori asnaf miskin setelah berjaya dalam perniagaan masing-masing.

Mereka juga telah mula membayar zakat kepada LZS sejak tahun lalu.